KUALA LUMPUR: Cadangan mengetatkan kriteria pemilihan serta penilaian prestasi kontraktor bagi membendung isu kelewatan projek kerajaan dan projek sakit menjadi antara topik utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di portal rasmi Parlimen, perkara itu diajukan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) kepada Menteri Kerja Raya bagi mengetahui langkah proaktif menangani kelemahan pengurusan dan kewangan kontraktor, di samping mekanisme baharu yang bakal diperkenalkan.

Turut mencuri tumpuan pada sesi soal jawab lisan ialah soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai perkembangan terkini Rang Undang-Undang (RUU) Penjagaan Ibu Bapa.