KUALA LUMPUR: Industri muzik dan kreatif tempatan berharap Belanjawan 2027 menyediakan peruntukan lebih besar bagi membantu karya serta bakat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, berkata peruntukan berkenaan bukan sekadar untuk pembangunan industri, sebaliknya perlu disusuli pelaksanaan program berkesan bagi membawa karya dan bakat tempatan ke pasaran lebih luas.

"Kalau boleh kita terbuka untuk dapat peruntukan yang lebih besar untuk industri muzik. Kita tahu pasaran besar seperti Korea Selatan dan Jepun memperuntukkan jumlah yang besar untuk mencapai objektif mengeksport lagu mereka ke luar negara.

"Jadi, kalau kerajaan serius untuk mendapatkan pasaran lebih besar untuk muzik dan hasil kreatif negara seperti perfileman, animasi serta muzik, perlu ada peruntukan lebih besar untuk melaksanakan aktiviti buat penggiat seni kreatif di Malaysia," katanya kepada BH Online.