Ecuador: Nelayan di sepanjang pantai Pasifik Amerika Latin berdepan krisis hasil tangkapan merosot berikutan peningkatan suhu lautan akibat fenomena El Nino yang memaksa spesies ikan seperti tuna dan ancoi berpindah ke perairan lebih sejuk.

Dari Ecuador dan Peru di Amerika Selatan hingga ke Panama dan Guatemala di Amerika Tengah, sesetengah jurumudi bot memilih untuk tidak turun ke laut selepas stok ikan berhampiran pesisir semakin berkurangan berikutan suhu laut meningkat sehingga enam darjah Celsius berbanding paras biasa.

"Air laut terasa panas," kata Juan Ollague, 56, kepada AFP di pelabuhan Santa Rosa, barat daya Ecuador, di mana ratusan bot nelayan kelihatan tersadai berikutan tiada aktiviti menangkap ikan.