am@hmetro.com.my
Sandakan: "Saya rasa macam hampir mati," itu detik paling traumatik dilalui seorang bekas pelajar sebuah sekolah berasrama di sini, apabila dibelasah sekumpulan senior menggunakan kayu hoki selepas dituduh mencuri kasut walaupun dia menafikan melakukan perbuatan itu.
Sumber yang mahu dikenali sebagai Amin, 26, berkata, kejadian pada 2014 itu menyebabkan seluruh tubuhnya dipenuhi lebam, malah dia terpaksa tidak hadir ke sekolah untuk memberi masa kepada kecederaan berkenaan pulih.
Menurutnya, dia mula bersekolah di sekolah berasrama itu pada 2013 dan pada awalnya menjalani kehidupan tanpa sebarang masalah.
Bagaimanapun, katanya, dia mula merasai pengalaman dibuli ketika berada di asrama pada 2014 apabila pelajar junior diarahkan melakukan pelbagai tugasan untuk senior.








