BUKIT JALIL: Tiga tahun tidak menjayakan konsert dan berbulan-bulan dipujuk untuk kembali ke pentas besar, akhirnya, Faizal Tahir berjaya mengubat kerinduan peminat menerusi Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat di Unifi Arena, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Penyanyi yang pernah diberikan jolokan 'Superman' gara-gara sering menyarung baju T tertera watak adiwira itu, membuktikan dirinya masih berbisa. Pada malam bersejarah itu, kira-kira 10,000 peminat hadir memberi sokongan pada konsert berdurasi lebih dua jam yang turut meraikan dua dekad perjalanan seni insan berbakat besar ini.
Bermula tepat jam 8.30 malam, Faizal membuka tirai persembahan menerusi Batu & Golek, Gemuruh dan Coba yang cukup membuktikan tenaga penyanyi berusia 48 tahun itu masih belum surut.






