KUALA LUMPUR: Sebanyak 491,649 permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027 diterima setakat 30 September lalu, membabitkan kanak-kanak kohort usia tujuh dan enam tahun, dengan anggaran kapasiti tambahan sehingga 108,470 murid.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata daripada jumlah itu, 73,498 permohonan membabitkan kanak-kanak kohort usia enam tahun, manakala 418,151 lagi daripada kohort usia tujuh tahun.

Katanya, pendaftaran kanak-kanak kohort usia enam tahun ke Tahun Satu mulai 2027 adalah pilihan ibu bapa, manakala kemasukan kohort usia tujuh tahun kekal sebagai laluan utama sepanjang tempoh peralihan.

"Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengambil kira keperluan dan implikasi pelbagai perkara seperti prasarana, sumber manusia dan persiapan lain bagi memastikan kesiapsiagaan susulan pelaksanaan dasar ini pada 2027," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.