BUTTERWORTH: "Saya baru nak terlelap, tiba-tiba ada bunyi benda terjatuh dari atas bumbung yang saya ingat kucing tetapi lama-kelamaan rasa nak sesak nafas," kata L Arvindraaj antara mangsa kebakaran membabitkan empat unit rumah di Taman Senangin, Perai, di sini, tengah malam tadi.

Arvindraaj, 38, bekerja sebagai Pegawai Teknikal Teknologi Maklumat (IT) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Timur Laut juga seorang kurang upaya (OKU), kehilangan kaki kirinya akibat kemalangan jalan raya pada 17 tahun lalu.

Lelaki itu berkata, dia bangun dengan mengejutkan adiknya untuk melihat apa yang berlaku di luar rumah sebelum mendapati terdapat kepulan asap dan api telah marak pada sebuah rumah kosong yang kemudian telah menyambar tiga rumah lain termasuk kediamannya.