KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir memaklumkan beliau mengetahui anaknya pernah mencuba vape.
Noraidah Lamat, 46, ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, berkata dia ada bertanya kepada Zara sama ada terbabit dengan vape selepas mengetahui beberapa pelajar lelaki membawa alat berkenaan ke sekolah.
"Pada mulanya, dia berkata tidak, tetapi apabila saya bertanya lagi, Zara mengaku pernah mencubanya sedikit.
"Daripada situ, saya tahu Zara pernah mencuba vape," katanya yang juga saksi ke-82.
Ketika pemeriksaan utama oleh peguam Shahlan Jufri, Noraidah berkata pada awalnya dia tidak marah, namun mula berasa sedikit marah selepas anaknya mengaku pernah mencuba vape.










