SEREMBAN: Dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki terbabit kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah pada 25 September lalu dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, esok.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata kedua-dua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
"Berhubung perkembangan siasatan kematian pelajar lelaki berusia 14 tahun hujung bulan lalu, kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri.
"Arahan tuduh kedua-dua suspek pertama dan kedua mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
"Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada jam 9.30 pagi esok," katanya hari ini.








