SUBANG JAYA: Seorang juruterbang antara empat ditahan dalam operasi di hangar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini dipercayai berkaitan kes penyeludupan 521 kilogram (kg) methamphetamine yang digagalkan pihak berkuasa Laos.
Mereka ditahan dalam satu operasi sebelum sebuah lagi pesawat dijadual berlepas dari lapangan terbang di Subang itu menuju Manila hari ini.
Difahamkan, anggota penguat kuasa bertindak ketika juruterbang, pembantu juruterbang dan dua kru wanita sedang membuat persiapan untuk penerbangan berkenaan.
Menurut sumber, juruterbang ditahan itu memiliki syarikat yang merupakan pemilik kedua-dua pesawat yang ditahan di Subang hari ini dan jet peribadi yang dikaitkan dengan rampasan besar-besaran dadah di Laos.









