SINGAPURA: Seorang lelaki dirujuk kepada polis pada 4 Oktober selepas dia didakwa membuat kenyataan mengenai bom di dalam kenderaannya kepada pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Dalam satu hantaran Facebook pada 6 Oktober, ICA menyatakan bahawa lelaki warga Singapura berusia 35 tahun itu sedang dalam perjalanan bersama lima rakan di dalam kenderaannya apabila mereka diarahkan untuk menjalani pemeriksaan tambahan di Zon Kargo Ketibaan.

Selepas pemeriksaan selesai, lelaki itu 'mengusik pegawai ICA dengan mendakwa terdapat bom di dalam kenderaannya', menurut pihak berkuasa itu.

"Pegawai dengan segera menutup kawasan berkenaan dan sumber tambahan dikerahkan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan serta kumpulan pengembara itu," tambahnya.