KUALA LUMPUR: Dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas menafikan dakwaan mereka bertindak sebagai 'ulat' atau 'counter setting' ketika menjalankan tugasan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1).
Sebaliknya, kedua-dua anggota itu mendakwa mereka dikasari secara fizikal oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam kejadian 28 September lalu.
Kenyataan itu dikeluarkan menerusi peguam mereka, Datuk Kamal Hisham Ja'afar daripada Kamal Hisham & Associates, hari ini.
Kamal Hisham berkata, dakwaan terhadap kedua-dua anak guamnya tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada isu utama yang sedang disiasat, iaitu dakwaan berlaku kekasaran fizikal terhadap mereka ketika menjalankan tugas rasmi.










