MELAKA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-16.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 31 Oktober manakala pengundian awal pada 10 November.

Menurutnya, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 31 Oktober sehingga pukul 11.59 malam, 13 November.

Beliau mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung PRU DUN Melaka Ke-16 di sini hari ini.

Ramlan berkata, permohonan undi pos bagi pilihan raya berkenaan telah dibuka sejak 23 September lalu.