KUALA LUMPUR – Tindakan susulan audit oleh Jabatan Audit Negara (JAN) telah menyumbang kepada kutipan hasil dan bayaran balik kepada kerajaan berjumlah RM920.91 juta setakat 28 Sept lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata angka itu menunjukkan keberkesanan audit apabila dapatan yang dikenal pasti disusuli dengan tindakan sewajarnya.

“Ini bukan angka kecil. Ia membuktikan audit yang disusuli tindakan boleh menghasilkan pemulihan wang awam yang nyata,” katanya ketika membentangkan usul berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata semua kementerian, jabatan dan agensi tidak seharusnya melihat teguran audit sebagai serangan, sebaliknya sebagai peluang untuk membetulkan kelemahan, memperbaiki sistem dan melindungi wang rakyat.