MELAKA: Selepas hampir dua minggu Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan, tumpuan kini terarah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadual mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi menentukan tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Mesyuarat dijadualkan pagi ini yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, sebelum satu sidang media pada jam 11.30 pagi bagi mengumumkan keputusan berkenaan.
Antara perkara yang akan ditentukan ialah tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal serta hari pengundian selain daftar pemilih yang akan digunakan.
Turut dijangka diperincikan, urusan pilihan raya termasuk penggunaan pusat penamaan calon, pusat mengundi dan persiapan petugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.








