MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata hari penamaan calon ditetapkan 31 Oktober, manakala mengundi awal pada 10 November.

Tempoh berkempen pula bermula selepas pengisytiharan calon pada 31 Oktober sehingga jam 11.59 malam pada 13 November.

Beliau mengumumkan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR, di sini hari ini.

Pada 22 September lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 September.