TUMPAT: Polis masih mengesan suspek lelaki melakukan perbuatan khianat di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, Kampung Berangan, di sini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, berkata pihaknya percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam masa terdekat dan siasatan kini tertumpu kepada pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
"Kita masih mengesan suspek dan buat masa kini siasatan melalui pemeriksaan di semua CCTV bukan sahaja di masjid terbabit tapi juga di setiap premis sekitar.
"Banyak CCTV yang ada di kawasan sekitar dan kita akan periksa setiap satunya yang menjadi laluan menuju ke masjid.
"Wajahnya tidak dapat dikenal pasti memandangkan suspek memakai topi keledar tapi kita yakin tangkapan akan dapat dilakukan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.









