KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memberi jaminan bahawa kedudukan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) masih kekal buat masa ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Kamarudin Md. Nor yang juga Pengerusi Bersatu Kelantan tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan.

Katanya, sehingga kini Kamarudin yang memegang portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan masih kekal menjalankan fungsi serta tanggungjawabnya dalam pentadbiran kerajaan negeri. 

“Isu berkenaan (kedudukan Kamarudin) tidak pernah dibangkit atau dibincangkan dalam Mesyuarat Exco sehingga kini. Maksudnya kedudukan beliau masih kekal dan hari inipun beliau hadir mesyuarat,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.