KUALA LUMPUR: MyEG Services Bhd (MyEG) perlu melunaskan sepenuhnya bayaran tertunggak sebelum sebarang permohonan untuk menyambung semula operasinya sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh dipertimbangkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementerian kekal dengan pendirian bahawa bayaran berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang permohonan operasi disambung dapat dipertimbangkan.

“Kita tetap dengan apa yang kita telah nyatakan. Kita menunggu bayaran tersebut. Sebelum sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi boleh dipertimbangkan, bayaran perlu diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Notifikasi Bayaran Kadar Khas bagi Rumah Ibadat dan Sekolah Bantuan Modal di Menara Railway Assets Corporation (RAC), di sini, hari ini.