PUTRAJAYA: Tindakan kerajaan terhadap My EG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah kumpulan MYEG tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik, sebaliknya dibuat berdasarkan fakta syarikat itu mempunyai tunggakan RM314 juta membabitkan obligasi kepada kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan tidak menjadikan kaitan politik sesebuah syarikat sebagai pertimbangan dalam mengambil tindakan, sebaliknya semua pihak dilayan secara sama rata.

"Satu yang pasti, ia tak ada kaitan, tak ada kena-mengena dengan parti sayalah tetapi berkaitan dengan parti mana? Itu bukan pertimbangan saya.

"Kita berkaitan kepada fakta. Faktanya ialah ada tunggakan. Ada apa-apa tunggakan yang sepatutnya obligasi kepada kerajaan tidak dipenuhi dan tindakan perlu diambil," katanya pada sidang media di sini, hari ini.