KUALA LUMPUR: Sistem e-Jamin bagi pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah didapati beroperasi tanpa Surat Pelantikan, Surat Setuju Terima (SST), Surat Menyatakan Hasrat (LOI), mahu pun perjanjian kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan selama lima tahun.

Selain itu, wang jaminan dibayar melalui sistem e-Jamin didapati dimasukkan ke akaun komersial syarikat dan kegagalan memperakukannya ke dalam Akaun Amanah Disatukan melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.

Ia antara penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berdasarkan prosiding yang dijalankan jawatankuasa itu berhubung Pengurusan Perkhidmatan Bayaran Wang Jaminan Mahkamah melalui Sistem e-Jamin di bawah Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.