KUALA LUMPUR: Sistem kewangan Malaysia tidak kebal daripada kesan konflik di Asia Barat, termasuk kejutan harga komoditi yang lebih besar, gangguan bekalan berpanjangan dan ketidaktentuan pasaran kewangan global sekiranya konflik terus berlarutan atau bertambah buruk, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu menjelaskan, konflik yang lebih berpanjangan juga boleh menyebabkan pertumbuhan global lebih lemah, sekali gus meningkatkan risiko kepada perniagaan dan isi rumah.

"Bagaimanapun, bukti setakat ini menunjukkan risiko terhadap kestabilan kewangan domestik masih terkawal, dengan tekanan kewangan tertumpu kepada sektor dan segmen peminjam tertentu.

"Pada masa sama, kualiti kredit secara keseluruhan kekal kukuh, pembiayaan terus mengalir kepada ekonomi sebenar, manakala institusi kewangan mempunyai penampan modal, mudah tunai dan peruntukan yang kukuh," menurutnya dalam dalam laporan bertajuk 'Beyond Oil Prices: From Geopolitical Conflict to Financial Stability Risk'.