SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali, 67, dibenarkan mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkan dia ke Mekah menemani isteri keempatnya, Ummu Mubaroqah Ashaari, 32, yang dijangka bersalin bulan ini.

Permohonan itu dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Fatimah Zahari, selepas pihak pendakwaan tidak membantah permohonan dikemukakan Nasiruddin Mohd. Ali, 67 yang hadir berkerusi roda melalui Peguam Datuk Rosli Kamaruddin.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan pasport tersebut perlu diserahkan semula sebelum atau pada 10 November ini, selaras dengan syarat ditetapkan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul.