SHAH ALAM: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bekas Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali serta tiga bekas akauntan syarikat itu bagi menggugurkan 331 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM38.1 juta.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, ketika prosiding pengurusan kes terhadap semua tertuduh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Empat tertuduh terbabit ialah Nasiruddin Mohd Ali, 67, yang berdepan 77 pertuduhan membabitkan lebih RM10 juta; Hamimah Yakub, 74, dengan 95 pertuduhan membabitkan RM11.4 juta; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, yang menghadapi 68 pertuduhan membabitkan RM4.7 juta; serta Mohd Khushairi Osman, 55, yang berdepan 91 pertuduhan membabitkan hampir RM12 juta.