KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan laporan awal Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berkaitan Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026 kepada Jemaah Menteri, Jumaat ini.

Beliau berkata, tumpuan KMF 2026 terhadap isu kuasa adalah bertepatan dengan perkembangan semasa, khususnya berkaitan persoalan kebertanggungjawaban serta keupayaan institusi mengawal dan memastikan mereka yang mempunyai kuasa terus dipertanggungjawabkan.

"Saya akan membentangkan kertas awal mengenai KMF 2026 ini kepada mesyuarat Kabinet Jumaat ini," katanya dalam ucaptama KMF 2026 di sini, hari ini.

Anwar menegaskan, persoalan kuasa tidak boleh dipisahkan daripada isu tadbir urus dunia dan negara, termasuk kebertanggungjawaban demokratik yang dilihat masih kurang diberi perhatian.