KUALA LUMPUR: Keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang bertanggungjawab terhadap pelantikan, pengawasan kewangan dan pembangunan anggota Perkhidmatan Parlimen akan ditentukan dalam satu mesyuarat yang dijangka berlangsung pada 13 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penentuan keanggotaan majlis itu merupakan antara langkah seterusnya dalam pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.

Katanya, akta berkenaan memperuntukkan dua entiti utama iaitu Majlis Perkhidmatan Parlimen yang akan mengendalikan perkhidmatan tersebut dan Perkhidmatan Parlimen itu sendiri.