KANGAR: Seorang penceramah motivasi direman semula selama dua hari bermula hari ini selepas polis menerima satu lagi laporan baharu membabitkan kes gangguan seksual. 

Perintah tahanan reman sehingga esok itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Kompleks Mahkamah Kangar, di sini, hari ini. 

Siasatan bagi kes terbaharu itu dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Media sebelum ini melaporkan pendedahan mengejutkan beberapa wanita di media sosial yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan manipulasi penceramah itu.

Penceramah berkenaan didakwa menggunakan modus operandi dengan mendekati mangsa melalui aplikasi TikTok atas alasan urusan kerja atau pelajaran, sebelum bertindak berani mengajak mangsa menjadi ‘sugar baby’ dan mendaftar masuk ke hotel.