TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memasuki negara ini menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan berani bertindak agresif sehingga berisiko mencederakan anggota yang bertugas di lapangan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kebanyakan PATI berani menyerang dan melanggar anggota ketika cuba lolos untuk masuk ke negara ini.
Menurutnya, PGA ketika ini menghadapi masalah ketika menjalankan operasi di Kelantan apabila PATI semakin agresif terhadap pihak berkuasa.
“Kita sudah banyak membuat tangkapan PATI dari Myanmar, Thailand, Bangladesh dan Indonesia masuk melalui sempadan di Kelantan secara haram.
“Dalam tempoh sebulan penugasan Ops Taring Wawasan Kelantan, seramai 70 PATI 15 wanita dan 7 kanak pelbagai warganegara ditahan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ops Taring Wawasan Kelantan antara Batalion 8 dan Batalion 9 PGA di Markas Taktikal PGA, Pengkalan Kubor di sini hari ini.






