Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan My E.G Sdn Bhd (My E.G) dan Zetrix AI Bhd (Zetrix AI), kedua-duanya di bawah Kumpulan MYEG, sebagai ejen kutipan jabatan itu berkuat kuasa 5 Oktober.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian, selain obligasi tertunggak yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat terbabit.

"JPJ ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan My E.G dan Zetrix AI di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen kutipan bagi pihak JPJ akan digantung berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam, 5 Oktober," katanya.

Susulan keputusan itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan menerusi saluran Kumpulan MYEG turut digantung mulai 5 Oktober.