Manchester: Manchester City mengesahkan kelab itu sudah mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang mendapati mereka bersalah atas semua pertuduhan berkaitan pelanggaran serius peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Suruhanjaya bebas mengeluarkan keputusan berhubung kelab yang disokong Abu Dhabi itu awal minggu ini dan City diberi tempoh sehingga Jumaat untuk mengemukakan rayuan.

Tiada hukuman diputuskan setakat ini, namun City berdepan kemungkinan dikenakan pemotongan mata yang besar, denda atau disingkirkan daripada divisyen utama.

Juara England 10 kali itu, yang terus menafikan sebarang salah laku, berkata pada Jumaat bahawa mereka sudah mengemukakan 'rayuan menyeluruh'.

"Pendirian teguh kelab adalah bahawa berdasarkan pelbagai alasan, keputusan itu mengandungi kesilapan material yang jelas dari segi undang-undang, prinsip dan fakta serta tidak boleh dijadikan sandaran," kata City dalam satu kenyataan.