ferzalfie@hmetro.com.my
Rembau: Ada yang mengenali Le Tour de Langkawi (LTdL) sebagai perlumbaan basikal bertaraf dunia, tetapi bagi Badrul Ihsan Mahidin, ia lebih daripada sekadar perlumbaan.
Tiga dekad bersama perlumbaan itu menjadikan LTdL sebagai sebahagian daripada perjalanan hidupnya, daripada seorang pelajar Universiti Malaya (UM) berusia 35 tahun 1996, kemudian bertugas sebagai guru, sehinggalah kini selepas bersara.
Lebih istimewa, Badrul Ihsan, 65, adalah antara kelompok perintis yang menyaksikan sendiri bagaimana LTdL bermula daripada kosong sebelum berkembang menjadi acara sukan yang dikenali di seluruh dunia.
"Saya daripada perintis LTdL 1996 sampailah sekarang dan 30 tahun tidak berhenti daripada memberi khidmat kecuali masa Covid-19, sebab 2021 tidak ada perlumbaan," katanya ketika mengimbau penglibatannya.






