KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan My EG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah kumpulan MYEG, sebagai ejen kutipan jabatan berkuat kuasa Isnin ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepatuhan terhadap terma dan syarat perjanjian, serta tanggungjawab yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat itu.

"JPJ ingin memaklumkan perkhidmatan My EG Sdn Bhd dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen kutipan bagi pihak JPJ akan digantung berkuat kuasa 12.01 pagi, 5 Okt," katanya.

Susulan keputusan itu, Aedy berkata, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG juga akan digantung mulai Isnin ini.