KOTA KINABALU: Sebuah banglo di Damai, di sini, dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari beberapa negara, sebelum kegiatan itu terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Sabah, semalam.
Dalam serbuan Ops Serkap kira-kira 11 pagi itu, 12 lelaki warga China berusia antara 20 hingga 43 tahun ditahan, selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata serbuan itu turut membawa kepada rampasan 153 telefon bimbit jenama Apple pelbagai model, 11 komputer, satu unit pemprosesan pusat (CPU) dan 13 penghala internet (router).
Katanya, pemeriksaan terhadap peralatan komputer di premis berkenaan turut menemukan rekod transaksi kewangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan dalam talian.








