Johor Bahru: Sebanyak 207 sekolah di seluruh negeri ini dikenal pasti sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagai langkah siap siaga bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir sepanjang tempoh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, langkah itu membabitkan 202 Sekolah Kebangsaan (SK) dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang sedia dibuka pada bila-bila masa bagi menampung mangsa terjejas sekiranya keadaan mendesak.
Beliau berkata, penyediaan PPS membabitkan fasiliti pendidikan itu diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi memastikan persekitaran yang selamat dan teratur sedia digunakan apabila diperlukan.






