Kementerian Kesihatan tidak menyatakan tarikh pakar itu akan melapor diri di Hospital Raja Perempuan Zainab II, tetapi memaklumkan penempatan akan dilakukan secepat mungkin. (Gambar Envato Elements)PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti seorang pakar bedah kardiotoraks untuk ditempatkan di hospital utama Kota Bharu, Kelantan bagi merawat pesakit jantung di negeri itu dan Terengganu.

Pakar itu akan ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), yang terpaksa menangguhkan sejumlah pembedahan selepas satu-satunya pakar bedah di sana meletak jawatan dua bulan lalu.

"Kementerian mengambil maklum situasi perkhidmatan pembedahan kardiotorasik di HRPZ II.

"Seorang pakar bedah kardiotorasik telah dikenal pasti untuk ditempatkan di hospital berkenaan bagi memperkukuh dan memulihkan perkhidmatan dalam kepakaran itu," kata KKM kepada FMT.