Kuala Lumpur: Ancaman banjir di Lembah Klang belum berakhir apabila 56 lokasi hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko dikenal pasti di Selangor selain hujan lebat serta ribut petir dijangka berterusan sepanjang minggu ini.
Keadaan itu membimbangkan berikutan kejadian banjir kilat berulang yang bukan sahaja merosakkan harta benda, malah mengganggu kehidupan harian penduduk dan mengancam keselamatan mereka.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, tiupan angin timuran yang lemah bersama kehadiran udara lembap yang tinggi menggalakkan pembentukan awan ribut petir serta hujan lebat pada sebelah petang hingga lewat malam sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, keadaan cuaca berkenaan dijangka berterusan sepanjang minggu ini di Lembah Klang dan negeri-negeri barat Semenanjung.








