PETALING JAYA: Sebanyak 3,682 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan titik panas (hotspot) banjir di seluruh negara menjelang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka bermula hari ini hingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, seramai 25,592 pegawai dan anggota serta 1,248 aset pelbagai jenis jabatan itu berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata, bagi mempercepatkan tindakan di kawasan berisiko, sebanyak 29 Pasukan Gerak Cepat (PGC) digerakkan.
Manakala, katanya, pangkalan operasi hadapan atau Regional Forward Base (RFB) di Pulau Pinang, Terengganu dan Johor turut diaktifkan bagi memudahkan mobilisasi anggota serta aset ke lokasi yang memerlukan bantuan.









