KLANG: Kerajaan Selangor sedang menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti lokasi kritikal yang memerlukan pembinaan kolam takungan baharu atau penambahbaikan sistem perparitan untuk mengatasi masalah banjir kilat di negeri ini.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, berkata kajian berkenaan penting bagi mengenal pasti kawasan yang memerlukan langkah penyelesaian segera, terutama di bandar seperti Shah Alam, Klang dan Kajang.

"Ketika ini, Selangor menerima pelbagai projek tebatan banjir daripada Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan bernilai lebih RM4 bilion, dengan sebahagiannya sedang dilaksanakan dan hampir siap, manakala selebihnya masih dalam perancangan.

"Bagaimanapun, kita akui masih ada keperluan untuk menyelesaikan isu banjir kilat terutama di kawasan bandar seperti Shah Alam, Klang dan Kajang.