JOHOR BAHRU: Pakistan terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan China 8-3 dalam aksi pembuka tirai Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-14 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, sebentar tadi.

Serangan berterusan Pakistan ke kubu China akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-13 apabila Ullah Saif menjaringkan gol padang menewaskan penjaga gol China, Liang Jinglang.

Namun jaringan itu tidak bertahan lama selepas Liang Hoalin turut menjaringkan gol padang yang berjaya melepasi kawalan Ullah Sami menewaskan penjaga gol, Ahsan Mahmood pada minit akhir suku pertama.

Berpunca daripada kesilapan Ahsan yang gagal menendang bola keluar dari kawasan D pada minit ke-18 suku kedua memudahkan tugas Haolin untuk mencetak gol kedua peribadi selepas mudah menolak masuk ketika gawang terbuka luas.