Hulu Langat: Hasrat seorang ibu, Siti Amisah Sahri, 54, untuk menikmati mi sup sebelum dibawa ke hospital tidak kesampaian apabila keadaannya semakin merosot akibat komplikasi kesihatan selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

Lebih memilukan, bubur yang dimasak menantunya atas permintaan arwah juga tidak sempat dijamah selepas dia hanya dibenarkan minum ketika menerima rawatan di hospital sebelum meninggal dunia.

Anaknya, Muhammad Rafiamizi Zalimi, 31, atau mesra dipanggil Ipi berkata, arwah ibunya pada awalnya tidak sihat ketika di Mekah selepas menerima tajaan untuk mengerjakan umrah.

Menurutnya, sebaik pulang ke Malaysia pada malam 8 Oktober lalu, dia membawa ibunya ke klinik pada keesokannya sebelum pihak klinik menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital berikutan paras oksigen yang rendah.