NARATHIWAT: Seorang anggota polis dan tiga lelaki disyaki anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN) maut, manakala dua anggota renjer cedera dalam insiden berbalas tembakan di daerah Si Sakhon, Narathiwat, pagi tadi.
Pusat Penerangan Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC-4) mengesahkan insiden berlaku kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan di Kampung Tengor, Mukim Sibonpot, ketika pasukan keselamatan sedang menjalankan rondaan.
Menurut ISOC-4, anggota keselamatan yang melakukan rondaan secara berjalan itu telah mengesan sebuah rumah mencurigakan dan dipercayai diduduki anggota kumpulan pemisah sebelum menghampirinya untuk menjalankan pemeriksaan.
"Ketika anggota keselamatan menghampiri rumah itu, mereka ditembak oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali yang bersembunyi di dalamnya, sekali gus mencetuskan insiden berbalas tembakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.










