LANGKAWI: Hujan lebat selama satu setengah jam menyebabkan beberapa kawasan sekitar Pekan Kuah di sini, dilanda banjir kilat awal petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Jalan Penarak dan Jalan Pandak Mayah antara dinaiki air, namun ia dilaporkan surut kira-kira sejam kemudian selepas hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan mulai reda.

Antara lokasi terjejas kawasan deretan premis perniagaan di Jalan Pandak Mayah dan persimpangan empat berhampiran Kompleks Haji Ismail Group (HiG).

Tinjauan di media sosial mendapati beberapa pengguna berkongsi video dan gambar keadaan jalan sekitar pekan Kuah yang ditenggelami air.