DUNGUN: Seorang wanita tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 31 individu lain serta lima malim gunung di Air Terjun Langsir, Chemerong di sini, hari ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Ishak Abd Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.22 pagi berhubung kejadian itu sebelum menghubungi malim gunung yang berada bersama Lim Kah Wah, 48, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi dan keadaan wanita berkenaan.
Berdasarkan maklumat awal, beliau berkata, Kah Wah yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang, berada kira-kira sembilan kilometer dari kaki gunung dan perjalanan ke lokasi dianggarkan mengambil masa hingga 15 jam.
"Pada jam 1 tengah hari, bantuan Unit Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dimohon bagi memindahkan mangsa, manakala permohonan pengaktifan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) negeri dibuat pada jam 1.30 tengah hari," katanya dalam satu kenyataan.









