JOHOR BAHRU: Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru menguruskan penghantaran pulang seorang nelayannya yang ditemui hanyut sehingga perairan Pulau Tioman, dekat Pahang hari ini.
Pegawai Pelaksana Fungsi Konsular 3 KJRI Johor Bahru, Dhania Afini Lestari, berkata pihaknya bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
"Selepas berjaya diselamatkan, mangsa menjalani pemeriksaan kesihatan serta diberikan bantuan penginapan sementara dan bekalan logistik.
"Proses penghantaran pulang dilakukan hari ini, di mana mangsa diiringi Maritim Malaysia Pahang sebelum diserah terima kepada pihak berkuasa sempadan Indonesia di titik sempadan perairan kedua-dua negara pada jam 5 petang," katanya menerusi kenyataan.










