KUANTAN: Selepas sembilan hari berada di laut, seorang nelayan warga Indonesia ditemukan selamat apabila bot dinaikinya hanyut di perairan Pulau Tioman, Rompin dekat sini.
Mangsa, Bachtiar, 61, ditemukan orang awam kira-kira 22 batu nautika timur Pulau Tioman pada 15 Oktober lalu sebelum bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digerakkan ke lokasi.
Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Datuk Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya menerima maklumat awal kehilangan bot nelayan tersebut daripada Kantor SAR Natuna menerusi e-mel pada 14 Oktober lalu.
“Bot itu dilaporkan bertolak dari Letung, Kabupaten Kepulauan Anambas, Indonesia pada 6 Oktober lalu sebelum terputus hubungan. Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima laporan penemuan bot daripada MRSC Johor Bahru pada 15 Oktober lalu.










