Kuching: Lelaki yang hilang ketika keluar berburu seorang diri sejak 7 Oktober lalu ditemukan dalam keadaan lemah dan berkaki ayam selepas keluar sendiri dari hutan berdekatan kebun kelapa sawit di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, pagi tadi.
Christie Fidelis Batest, 53, ditemui pada 8.47 pagi selepas lapan hari dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William berkata, ketika ditemukan, mangsa berada dalam keadaan lemah selain mengalami beberapa luka kecil pada kedua-dua pergelangan kaki, pergelangan tangan dan lengan.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian menggunakan kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.









