GUA MUSANG: Mayat seorang lelaki ditemukan selepas dua hari trak pikap dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter di Jalan Ladang Pos Pulat di sini.

Mangsa, Saipul Anwar Daud, 60, yang bekerja sebagai juruukur bebas meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian kaki dan muka dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendaen Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku  Ahad lalu namun mangsa dan trak pikap jenis Toyota Hilux dipandunya dijumpai semalam oleh rakan sekerjanya.

Katanya, polis menerima aduan daripada orang awam kira-kira pukul 4.30 petang semalam berhubung penemuan trak pikap di bawah cerun.