PUTRAJAYA: Malaysia perlu segera memperkukuh keupayaan diplomatnya bagi mengembalikan semula negara sebagai pusat rujukan dalam bidang diplomasi, khususnya di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia sebelum ini menjadi rujukan diplomat ASEAN dalam beberapa aspek termasuk perjanjian dan dokumentasi antarabangsa.

“Kita perlukan diplomat yang cemerlang. Malaysia dulu terkenal menjadi sebagai pusat rujukan. Jadi kita perlu kembali semula kepada keadaan itu. Kalau dulu, kalau perjanjian antarabangsa, dokumentasi antarabangsa, semua diplomat dari ASEAN terutamanya, mereka merujuk kepada diplomat Malaysia. Sekarang ini kita tertinggal.

“Maka ini yang perlu dilakukan, menambah pengetahuan itu perlu disegerakan kerana kita tidak boleh duduk dalam zon selesa kita kerana negara-negara jiran telah dapat melahirkan diplomat-diplomat yang lebih cemerlang yang satu ketika dulu mereka tidak menonjol sangat kalau dibandingkan dengan diplomat daripada negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi Program Diploma in Diplomacy (DiD) 2026 di sini hari ini.