Sungai Petani: Berbekalkan impian besar untuk menyarung jersi negara, sekumpulan pemain muda daripada keluarga petani dan nelayan sanggup mengetepikan pelbagai cabaran demi membuktikan kemampuan mereka di gelanggang sepak takraw.

Biarpun bukan daripada kelompok atlet yang menikmati latihan tersusun setiap hari seperti di sekolah sukan, mereka tetap menunjukkan komitmen tinggi apabila menyertai Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Utara bersama pasukan Young Turtles, sekali gus menjadikan kejohanan itu medan menguji kemampuan dan mencuri perhatian.

Bagi pengurus pasukan Young Turtles, Ahmad Nasir Muda, peluang beraksi dalam kejohanan bawah 16 tahun itu cukup bermakna kerana pemain muda memerlukan lebih banyak pertandingan kompetitif untuk mengembangkan bakat dan membuka laluan ke peringkat lebih tinggi.