Melaka: Melaka FC (MFC) mencipta kejutan selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Beraksi dalam suasana jerebu, skuad Hang Tuah mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan pada awal babak sebelum memastikan kemenangan dramatik menerusi jaringan pemain gantian, R Ruventhiran pada minit ke-86.

Namun, KL City terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-12 menerusi Fareed Sadat yang berjaya menewaskan penjaga gol Melaka FC, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.

Jaringan itu terhasil daripada gerakan Gary Steven Robbat yang melintangkan bola ke dalam kotak penalti sebelum Fareed melepaskan rembatan kencang untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.